Saturday 11 June 2011

Bab 3 - Perebutan mula berlaku

            Rumah-rumah agam di taman perumahan mewah itu kelihatan tenang.  Sesekali deruan beberapa buah kenderaan memecah kesunyian.  Rata-rata pemilik banglo mewah itu tiada di rumah ketika itu.  Mereka mungkin berada di pejabat atau pun tempat kerja.  Yang tinggal hanya pembantu rumah bersama tukang kebun dan pemandu.


           Sebuah banglo yang berukir tanda nama 'Teratak Syurga' itu tidak terlalu sunyi seperti banglo-banglo lain.  Puan Zalikha sedang bertungkus-lumus menyediakan hidangan tengah hari.  Tidak seperti pemilik banglo di kawasan tersebut yang menyediakan khidmat pembantu rumah untuk memasak dan mengemas rumah,  Puan Zalikha selesa melakukan sendiri.  Encik Lokman pula berada di luar rumah.  Bekas makanan ikan dicapai lalu dilemparkan ke arah kolam ikannya.


           Setengah jam berlalu,  urusan memasak selesai.  Puan Zalikha segera naik ke atas dan membersihkan diri.  Dia dan suaminya akan dikunjungi oleh tetamu hari itu.  Semestinya dia dan Encik Lokman harus berada dalam keadaan yang selesa.


           "Abang!  Cukup-cukuplah bercakap dengan ikan tu.  Masuk dan bersihkan diri.  Sekejap lagi mereka akan sampai,"  Puan Zalikha menegur suaminya yang leka 'berbual' dengan ikan kesayangannya.  Begitulah rutian harian suami Puan Zalikha,  Encik Lokman.  Setiap hari,  dia akan meluangkan masa untuk berbual dengan ikannya,  walaupun hanya seminit.


           "Baiklah.  Kamu sudah habis masak Ika?"  tangannya di kibas-kibas untuk menghilangkan habuk makanan ikan yang melekat.


           "Sudah.  Hanya tunggu tetamu sahaja."


           Encik Lokman mula bergerak masuk ke dalam rumah.  Puan Zalikha yang sudah berpakaian kemas melabuhkan punggung di buaian berhampiran pintu masuk rumah itu.  Berkeriuk bunyiny.  Fikiran wanita bertubuh besar itu mulai merawang.  Bimbang apa yang akan terjadi nanti.  Dalam masa yang sama,  naluri keibuannya begitu rindukan anak gadisnya itu.  Lma Puan Zalikha termenung di situ.


           Bunyi hon di hadapan pintu pagar menghambat jauh lamunannya.  Bebola mata dihalakan ke pintu pagar.  'Sudah tiba!'  Bisik hatinya.  Puan Zalikha berlari masuk ke dalam rumah dan tidak lama kemudian,  pintu pagar elektrik sudah terbuka luas tanda menjemput masuk tetamu yang berkenderaan mewah itu.


           "Apa khabar Ika?  Lama tidak berjumpa,"  kakak ipar Puan Zalikha memeluknya kemas selepas bersalaman.


            "Alhamdulillah,  khabar baik kak long.  Kak long pula sihat?"

            "Macam inilah Ika."

           Isteri kepada abang sulungnya itu menjawab.  Kakak iparnya yang lebih selesa disapa kak long meleraikan pelukan.  Puan Zaliha tahu kak longnya tidak selesa.  Bukan sehari dua dia mengenali kakak iparnya itu.


            "Assalamualaikum.  Silakan masuk abang long,  kak long,"  Encik Lokman yang baru muncul menjempu masuk tetamu.  Rumah dan mesra layanannya.


            Encik Zulkarnain dan isterinya,  Puan Normah mengatur langkah.  Kini mereka sudah berada di ruang tamu banglo milik pasangan suami isteri itu.  Tangan Puan Normah yang sedari tadi asyik mengibas-ngibas leher mula diturunkan.  Bebola matanya pula meliar memandang ruang mewah tersebut. 


            Entah apa yang tidak kena dimatanya,  Puan Zalikha pun tidak mengerti.  Lebih kurang setengah jam bertanya khabar dan berbual,  tuan rumah iatu Puan Zalikha menjemput mereka untuk menjamu selera.  Hidangan sudah tersaji di atas meja makan.  Masakan kampung menjadi santapan merek berempat.  Berselera sekali,  terutama Encik Zulkarnain dan suaminya.  Lain pula dengan kakak iparnya,  Puan Normah.  Gayanya seperti tiada selera.  Hanya menguis-nguis nasi itu.  Sesekali dia menyuap ke mulut,  seperti terpaksa.


            "Abang long sudah lama sampai.  Tapi tak nampak pula kelibat Darwisyah,"  Encik Zulkarnain bersuara ketika sedang berehat setelah selesai menjamu selera.


            "Ya.  Kak long pun tidak nampak dia.  Rasa rindu pula,"  sambung isterinya pula sambil tersengih-sengih.


            Janggal sekali pendengaran Puan Zalikha.  Tidak pernah Puan Normah dan Encik Zulkarnain bertanyakan tentang anaknya selama ini.  Apatah lagi menyatakan rasa rindu akan gadis itu.  Begitu juga dengan kedatangan mereka hari ini.  Semenjak mereka menetap di taman perumahan ini,  inilah kali pertama keluarga abang sulungnya itu datang bertandang.


            "Darwisyah tiada di sini.  Maklumlah,  cuti sekolah 2 hari.  Mahu berjalan-jalan katanya."


            Encik Lokman menjawab.  Wajah gusar Puan Zalikha dijeling sekilas.  Anak mereka bersatu dan ada bicara di situ.


            "Abang long ada perkara yang nak diperkatakan."


            Suasana yang pada mulanya meriah dengan gelak tawa sesama saudara sudah bertukar serius.  Encik Zulkarnain menyatakan tujuan dia ke sini.  Puan Zalikha mulai gusar.  Tepat sekali tekaannya!


            Sebaik sahaja dia menerima panggilan telefon daripada abangnya beberapa minggu lepas yang menyatakan niat untuk datang menziarah,  Puan Zalikha sudah dapat mengesan sesuatu.  


            "Berkenaan harta arwah mak."


            Ya!  Itu tujuan sebenar mereka.  Bukannya untuk menziarah.  Puan Zalikha bertambah jelik apabila melihat kelakuan kakak iparnya.  Kepalanya diangguk-anggukkan tanda mengiakan kata-kata suaminya.  Persis burung belatuk.


            "Mengapa dengan harta arwah mak?"  kali ini PuanZalikha pula bertanya.  Dia cuba menunujukkan bahawa dia tidak memahami apa yang dkatakan oleh abang kandungnya.


            "Bukankah semua harta peninggalan arwah mak ada pada kamu,  jadi abang long dan kak long datang ingin menuntut hak kami."


            'Kami?  Siapa yang lebih berhak sebenarnya?  Bukankah abang long.  Mengapa pula kak long yang beria-ia menjawab?'  bisik hati Puan Zalikha sambil melihat melalui ekor mata.


            "Abang long..."  Puan Zalikha berhenti sejenak menarik nafas panjang sebelum kembali menyambung,  "Abang long tahukan,  itu semua wasiat arwah mak untuk dia."


           Usai sahaja Puan Zalikha berkata begitu,  wajah Encik Zulkarnain terus berubah.  Jika pada awalnya manis,  kini sudah pahit.  Jika sebentar tadi tersenyum,  kini mulai menyinga.


           "Tahu,"  suaranya mulai meninggi,  namun masih terkawal.  "Kamu ibunya,  kamu boleh lakukan."


           "Tapi itu bukan hak Ika lagi."  balas PuanZalikha.  Pantas.


           "Atau kau sekeluarga mahu bolot semuanya?  Begitu?"


           Tergamam wanita itu.  Tidak percaya abangnya sanggup berkata begitu.  Encik Lokman yang sedari tadi menjadi pendengar mulai gelisah.  Dia dapat mengagak apa yang akn terjadi seterusnya.


           "Betul cakap Ika,  abang long.  Jika abang long menganggap bahawa kami ingin mebolot semuanya,  itu mustahil.  Kerana semua itu bukan atas nama kami berdua.  Kami tiada hak untuk itu semua."


           "Kalau kamu tiada hak,  serahkan kepada abang long,"  bidas Encik Zulkarnain.


           "Tidak boleh!"  ucap Puan Zalikha.


           "Mengapa tidak boleh?"  Encik Zulkarnain kembali menyoal.  Garang.


           "Abang long juga tiada hak,"  jawab Puan Zalikha.  Suaranya mulai bergetar.


           "Mengapa aku tiada hak?  Aku anak sulung.  Aku lebih berhak dari kau!  Dan sepatutnya harta itu jatuh ke tangan aku,  bukannya kau!"


           Encik Zulkarnain sudah hilang pertimbangan.  Hilang sudah gelaran 'abang long' dan 'Ika'.  Diganti dengan 'kau' dan 'aku'.  Ya Allah!  Inikah peribadi sebenar abangku.  Bisiknya dalam hati.  Dalam masa yang sama,  abang dan kakak iparnya sudah bangun dari sofa empuk buatan luar negara itu.


               "Sudah!  Nor,  mari kita pulang!"  dia mengajak isterinya pulang.  Wanita yang berambut perang itu menurut arahan suaminya.  Langkah Encik Zulkarnain dituruti.  Dia juga sempat melemparkan jelingan tajam ke arah Puan Zalikha.  


               "Aku akan tuntut harta tu.  Ingat!"  itu kata-kata terakhir Encik Zulkarnain sebelum hilang dibalik pintu kereta BMW 5series miliknya.  Berdegam bunyi pintu kereta itu apabila ditutup dengan kuat.


               Encik Lokman dan Puan Zalikha yang menghantar mereka dimuka pintu menjadi pegun.  Terkejut dengan situasti yang berlaku.  Encik Lokman tampak lebih tenang berbanding Puan Zalikha.


               "Ika tak sangka abang long boleh bersikap begitu dengan Ika,"  adu Puan Zalikha setelah lama mereka diam.


               "Orang tengah marah.  Macam-macam boleh jadi Ika.  Lama-lama nanti redalah marah dia.  Tak perlulah awak sedih begini."


                Pujuk Encik Lomkman.  Wajah isterinya ditatap penuh kasih sayang.  Sedikit-sebanyak dia turut terasa dengan kelakuan abang iparnya.


               "Ika tidak rasa begitu.  Abang dengarkan tadi,  abang long sempat kata yang dia akan tuntut harta tu.  Dia ugut kita bang!"  selarnya lagi.  Nadanya mulai sendu.


               'Ya!  Abang dengar Ika.  Sangat jelas.'  Balas Encik Lokman.  Tetapi tidak terluah dek kata-kata.  


               "Abang long seorang yang keras hati.  Dia boleh bertindak di luar jangkaan.  Apatah lagi jika ada yang menghasut."


               Encik Lokman tahu.  Kata-kata terakhir itu ditujukan kepada kakak iparnya sendiri,  Puan Normah.  Encik Lokman juga seperti isterinya,  sudah kenal luar dan dalam hati wanita yang bernama Normah itu.


              Wajah Darwisyah mula tergambar di fikiran Puan Zalikha.  Kebimbangan tentang keselamatan anaknya semakin menggunung selepas menerima kata-kata berupa ugutan daripada abangnya.  


             Mereka berjalan perlahan  masuk ke rumah.  Ya Allah,  kau lindungilah keluargaku dari sebarang perkara buruk!


              
           


           


           




         

1 comment:

  1. Sila semak beberapa perkataan yang tertinggal dalam bab ini.
    Setakat ini memang rasa tertarik untuk teruskan bacaan.

    ReplyDelete