Tuesday 7 June 2011

Bab 2 - Bertemu saudara baru

          Embun pagi mula menitik halus.  Dedaun hijau mengeluarkan aroma nyaman.  Seawal subuh lagi,  Kampung Alur Mutiara sudah basah disiram titisan hujan lebat.  Terasa dingin seisi alam.  Menghampiri pukul 7 pagi,  ufuk mentari mulai menjengah dari arah barat.  Bayang-bayang penghuni alam terbentuk di sana sini.  Sang unggas terbang mencari sesuap nasi seperti mana seorang yang bergelar manusia.


          "Mak tok.."  Darwisyah bersuara seperti merengek.  Hujung tudung sekolahnya dipintal-pintal dengan jari runcingnya.


           Hari ini merupakan hari pertama Darwisyah bersekolah di sekolah baru.  Pakaian seragam sekolah sudah tersarung kemas di tubuhnya.  Lengkap bertudung.  Demi mengambil hati dan memujuk Darwisyah,  Encik Lokman dan Puan Zalikha sanggup berbelanja lebih membeli pakaian seragam baru untuknya.  Dari hujung kepala hinggalah hujung kaki,  dengan harapan Darwisyah akan menurut arahan dan tidak memberontak.  Namun semua itu tidak menjadi. 


          "Kenapa cu..."  tanya neneknya kembali penuh kasih sayang.  "Jangan pintal tudung tu.  Nanti habis berkeredut.  Tak cantik pula cucu mak tok nanti."


           Wanita separuh usia itu yang mesra disapa nenek Leha di kalangan orang kampung menegur cucunya.  Kepalanya yang ditutup dengan anak tudung putih di betulkan.  Tubuh kurus keringnya disandar ke meja makan sambil tangannya ligat mencedok nasi goreng untuk sarapan mereka.  Baju kurung lama yang dipakai sedikit basah di bahagian hadapan.  Mungkin disebabkan percikan air ketika melakukan rutin membasuh di sinki pagi tadi. 


           "Isya tidak mahu bersekolah di sini,"  ujar Darwisyah.  Dia yang bersandar di kerusi meja makan memandang ke bawah. 


           "Kalau tidak mahu bersekolah di sini,  kenapa datang?"


            Zup!  Terasa seperti ingin pengsan ketika itu.  Suara balasan yang sememangnya tidak di jangka bergema.  Bulat matanya mencari arah sergahan itu.


           'Usu Roslan!'  getusnya di dalam hati.  Dia menelan air liurnya. terasa perit sekali.  Darwisyah bersandar tegak di kerusi.  Dia kelihatn takut.  Lagak tikus yang takut akan kucing.  Bapa saudaranya mengambil tempat berhadapan dengan Darwisyah ketika di meja makan.


           "Roslan!"


           Nenek Leha menegur anak bongsunya.  Suaranya sedikit keras walaupun bernada perlahan.  Nenek Leha sudah faham akan sikap anaknya itu.  'Entah bila lelaki ini akan berubah.'  Hati tua itu sempat berbisik halus.


           "Kalau hati tu sudah tawar untuk belajar di sini,  tidak perlu datang,"  ungkap lelaki itu lagi sambil memandang wajah anak saudaranya,  Darwisyah.


           Usu Roslan.  Adik bongsu Encik Lokman.  Lelaki ini belum mendirikan rumah tangga.  Dia kini tinggal bersama nenek Darwsiyah.  Usu Roslan bergelar usahawan.  Dia giat mengusahakan ternakan lembu sejak 3 tahun lalu.  Sehingga kini,  Darwisyah belum berpeluang melawat ladang ternakan bapa saudaranya itu.


            "Isya pergi dahulu nenek.  Assalamualaikum,"  Darwsiyah tidak menunggu lama.  Hunjanam Usu Roslan yang menyala begitu menakutkan.  Terasa inigin menyorok di belakang neneknya.  Tangan tua itu dikucup lembut sebelum melangkah ke arah bapa saudaranya pula.  Darwisyah menghulur tangan untuk bersalaman.  Di dalam hatinya,  pelbagai perasaan mula berkecamuk.  Risau,  malu,  gentar.  Risau jika Usu Roslan semakin membencinya lagi.  Dia juga malu jika huluran salamnya tidak disambut oleh Usu Roslan dan gentar jika lelaki itu akan terus melepaskan amarahnya yang masih bersisa.


            Alhamdulillah!  Itu kata hatinya apabila Usu Roslan sudi menerima huluran tangannya.


            "Kenapa kata begitu?  Tidak elok Lan,"  tanya wanita tua itu kepada anak bongsunya.  Raut wajahnya tampak kecewa.  Tangannya yang sedari tadi ligat membuat kerja kini sudah mengendur.


            "Mengapa mak baik sangat dengan budak itu?"  tanyanya kembali.  Pertanyaan ibunya di biarkan berlalu di bawa angin pagi.


             " Dia cucu mak Lan.  Satu-satunya cucu mak.  Darah daging kamu juga.  Sudahlah Lan.  Buang perasaan keras kamu.  Usah seksa minda dia.  Anak saudara kamu tidak mengerti apa-apa lagi,"


             Usu Roslan hanya diam apabila ibunya berkata begitu.  Mata kuyunya dikerdip beberapa kali.  Entah mengapa,  relung hatinya begitu sukar untuk melupakan perkara itu.  Dia sedar,  anak saudaranya itu memang langsung tidak bersalah.  Tidak sepatutnya dia bersikap sebegitu tehadap gadis itu.  Namun,  kerana marahkan abangnya,  Usu Roslan melempiaskan amarah kepada Darwisyah.  Tubuhnya yang agak tegap dan berotot ditegakkan.


             "Sarapan dahulu.  Sekejap lagi kamu hendak ke ladang.  Mak tidak ke sana mulai hari ini.  Kamu pulanglah makan tengahari nanti.  Anak saudara kamu sekarang tinggal dengan kita.  Makan minum dia sekarang di bawah tangunggjawab mak."


              Terang nenek Leha.  Pinggan nasi yang tidak sempat disentuh oleh Darwisyah di capai perlahan.  Bagaikan mahu menitis mutiara jernihnya.  Darwisyah tidak sempat bersarapan kerana takut akan bapa saudaranya.  Nasi goreng didalam pinggan itu diisi masuk semula ke dalam mangkuk besar.  'Kasihan cucu mak tok.'


             Titisan air matanya tiba-tiba mengalir perlahan.  Tidak mampu di bendung.  Usu Roslan yang asyik menjamu selera mendongak melihat wajah ibunya.  Seleranya serta merta lenyap.  Perasaan bersalah menyelinap di sanubarinya.


***** 

            
             Sementara itu,  Darwisyah yang begitu tersentuh dengan bicara bapa saudaranya berjalan perlahan menyusur jalan kampung menuju ke sekolah barunya.  Linangan air mata menemaninya sepanjang perjalanan ke sekolah.  Puas diseka,  tetap juga mengalir.  Laju.  Umpama tidak mahu berhenti.  Dia merasakan dirinya keseorangan di dunia ini.


             Rasa lemah kakinya.  Tenaganya seperti tertinggal di rumah ibu bapanya.  Hanya badannya ke sini.  'Menagapa Usu benci sekali dengan diri aku?  Apa yang telah aku lakukan terhadapanya?'  bicaranya dalam hati.  Jiwanya begitu sakit.  Jika permulaannya sudah pedih seperti ini,  mungkin hari-hari mendatang jiwa ini akan haus.  Hauskan simpati.


             "Assalamualaikum!"


             Sedang Darwisyah melangkah bersama rembesan air mata,  terdengar seseorang memberi salam dari arah belakang.  Dia berpaling ke belakang.  


             Seorang jejaka seperti sebaya dengannya.  Dia tidak mengenalinya  Lelaki yang lengkap berpakaian seragam sekolah itu berjalan laju.  Cuma menghampiri Darwisyah yang sudah ke hadapan.  Gadis berusia 15 tahun ini seperti tidak berminat untuk menantinya.


             "Kau Darwisyah bukan?"  jejaka itu cuba meneka.


             Sebaik sahaja lelaki yang tidak di kenali itu bertanya,  Darwisyah berhenti melangkah.  'Dia mengenaliku?'  detik hatinya.  Tubuh kurusnya di pusing sedikit mengadap orang yang bertanya.


             Tinggi!  Itu anggapan pertamanya saat dia bersemuka dengan lelaki itu.  Ketika melihatnya dari jauh, Darwisyah tidak menyedari fizikalnya.  Enggan khayal lebih jauh,  Darwisyah mula bersuara.


             "Dari mana kau tahu nama kau?"


             "Aku Aniq.  Danish Aniq,"  dia memperkenalkan diri walaupun tidak diminta.


             Usai sahaja jejaka yang bernama Danish Aniq itu bersuara,  Darwisyah mula melangkah.  Sisa air mata di pipi merahnya disapu kasar.  Rasa laranya mulai hilang.  Malu jika bekas-bekas mutiara itu dikesan oleh Danish Aniq.


             "Mengapa kau menangis?"  Rupa-rupanya Danish Aniq sudah ternampak.  Wajah bujur sirih Darwisyah di lihat dari ekor mata.


             "Siapa kau?  Aku tidak kenal kau.  Tidak perlu rasanya untuk aku beritahu,"  bidas Darwisyah sambil berjalan.  


             "Oh!  Aku terlupa.  Aku saudara kau juga.  Ayah kau dan ibu aku sepupu."  Akhirnya pertanyaan Darwisyah terjawab.  


             "Saudara?"  nada suara Darwisyah kedengaran terkejut.  "Mengapa selama ini aku tidak pernah kenal kau?"  soalnya lagi.


             "Ya.  Kita saudara.  Aku tidak tinggal di sini sebelum ini.  Hanya 2 tahun yang lalu,  aku dan keluarga berpindah ke kampung ini.  Sebab itu kau tidak kenal aku"


             Jejaka itu kelihatan selesa berbual dengan Drwisyah.  Tutur katanya juga penuh adab dan tidak berlebihan.  Danish Aniq yang tua 2 tahun daripada Darwisyah mengukir senyuman apabila Darwisyah mulai berminat untuk berbicara dengannya.


            "Jadi sekarang kau sudah kenal aku bukan?  Boleh aku tahu menagapa air mata kau mengalir?"  risiknya lagi.


            Dia sabar menanti jawapan dari bibir kecil Darwisyah.  Menanti dan terus menanti.  Sehinggalah mereka tiba di pintu pagar sekolah,  Darwisyah masih bungkam.  Pelajar-pelajar semakin ramai.  Ada yang baru tiba sepertinya,  ada yang sedang berbual besama sahabat,  ada yang sedang makan dan tidak terkecuali ada segelintir daripada mereka khusyuk mengulang kaji pelajaran.  Bagus sekali!  Mereka tidak membuang masa sementara menunggu waktu pembelajaran bermula.


           Menyedari dirinya berada di tempat baru,  Darwisyah cemas.  'Kemana harus aku pergi? Aku pelajar baru.'  getus hatinya.  Dia mula mematahkan jari-jarinya.  Berlekup-lekap bunyinya.  Itulah tabiat Darwisyah jika dia berada dalam keadaan cemas dan takut.


          "Mari ikut aku,"  Sedikit terkejut Darwisyah.  Dia sangkakan Danish Aniq sudah berlalu meninggalkannya.  Rupa-rupanya dia masih di sini.


          "Ke mana?"  


          "Pejabat sekolah,"  jawabnya pendek.


          
          "Untuk apa?"  Soal Darwisyah lagi bersama kerutan di dahi.  Dia masih berdiri di tempat yang sama,  sedangkan Danish Aniq sudah jauh ke hadapan.


          "Nenek Leha minta aku temukan kau dengan guru kelas kau.  Cepatlah!"


          Danish Aniq yang sudah menghampiri ruang lobi memusingkan badannya.  Sambil berjalan,  dia menjawab.  Jejaka tinggi ini meninggikan sedikit suaranya untuk melawan suara-suara kecoh para pelajar yang lain.  Ditambah pula sekolah tersebut berhampiran dengan jalan raya utam yang semestinya mengundang pelbagai bunyi hiru-pikuk kenderaan.


          Tidak mahu membazirkan masa,  Darwisyah berlari anak mengikut jejak saudaranya yang sudah hilang di balik dinding lobi.  Mujurlah dia dapat menangkap kelibat Danish Aniq yang ketika itu sudah membelok ke kanan.


             


           


         

2 comments:

  1. Embun pagi mula menitik halus. Dedaun hijau mengeluarkan aroma nyaman. Seawal subuh lagi, Kampung Alur Mutiara sudah basah disiram titisan hujan lebat. Terasa dingin seisi alam. Menghampiri pukul 7 pagi, ufuk mentari mulai menjengah dari arah barat. Bayang-bayang penghuni alam terbentuk di sana sini. Sang unggas terbang mencari sesuap nasi seperti mana seorang yang bergelar manusia.
    - saya suka permulaan bab 2, saya dapat bayangkan keindahannya. Cuma, ufuk mentari menjengah dari barat? apa maksudnya?

    ReplyDelete
  2. Bab 2 menarik. Rahsia Usu Roslan tersimpan dan menarik pembaca untuk tahu. Kehadiran aniq juga menarik tumpuan pembaca.

    ReplyDelete