Saturday 9 July 2011

Bab 5 -

          Hampir 2 bulan Darwisyah tinggal di kampung itu.  Dia tidak punyai masalah untuk bergaul dengan sahabat-sahabat lain terutama di sekolah.  Syukur alhamdulillah,  mereka menerima kehadiran Darwisyah dengan senang.  Sangkaan Darwisyah,  dia akan menerima kesulitan jika dia mula berpindah ke sekolah baru.  Ternyata apa yang difikirkan olehnya jauh menyimpang.

         Hari ini Darwisyah mengikut nenek Leha ke rumah jirannya.  Kenduri perkahwinan akan diadakan pada esok hari.  Menurut apa yang dikatakan oleh nenek Leha kepada Darwisyah,  bakal pengantin lelaki itu seorang doktor pakar manakala pasangannya nanti pula adalah seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi di ibu kota.  Terpegun sebentar Darwisyah ketika mendengarnya.

“Darwisyah!  Sudah siap atau belum?”

Nenek Leha melaung lembut nama penuh cucunya.  Darwisyah yang mendengar tersenyum.  Suka benar dia apabila nama penuhnya disebut.  Walaupun namanya hanya satu patah perkataan,  namun cukup sukar bagi orang-orang sekeliling memanggilnya dengan nama penuh.  Waima ibu dan bapanya.  Isya.  Itu nama yang sering diungkap.

“Sudah mak tok!”  Darwisyah keluar dari balik tirai biliknya.  Baju kurung hijau pucuk pisang tersarung kemas di tubuhnya yang kurus dan tinggi.  Mahkota wanitanya tertutup liup dengan tudung rona senada.  Cantik!

“Amboi!  Cantiknya cucu mak tok.”

“Cucu mak tok,  mestilah cantik!”

Darwisyah membalas pujian neneknya dengan gurauan.  Tersengih apabila dipuji sebegitu.  Berbunga-bunga hatinya.

“Sudah.  Mari cepat.  Mak tok sudah lewat ni.”

Selipar putih bersihnya disarung lalu mengikut langkah nenek Leha.  Tempat yang ingin ditujuinya tidak jauh.  Hanya selang beberapa buah rumah sahaja.  Di selekoh simpang masuk ke rumah neneknya,  mereka bertembung dengan beberapa orang kampung yang turut ingin ke sana.  Pada pandangan mata Darwisyah,  mereka nampaknya sebaya dengan nenek Leha.  Darwisyah menyalami mereka tanda hormat setelah dikenalkan oleh neneknya.  Walaupun dia berasal daripada bandar,  tetapi didikan tentang adat dan adab sangat dititik beratkan oleh kedua orang tuanya.

“Anak siapa ni Leha?”  tanya salah seorang daripada mereka.

“Anak Lokman!”  jawab nenek Leha.  Bersemangat.

“Oh!  Sudah besar ya.  Berapa umurnya?”  tanyanya lagi.  Tampak teruja sekali.  Darwisyah hanya tersenyum.

“Sudah 15 tahun.”

Dari gaya perbualan mereka bersama mak tok,  kelihatan seperti mereka mengenaliku.  Cuma aku yang tidak mengenali mereka.

Getus hati kecil Darwisyah.  Mereka terus berbual.  Sesekali galak tawa mereka pecah.  Mungkin ada yang mencuit hati mereka ketika itu.  Darwisyah hanya mendegar.  Dia menikmati suasana kampung yang sudah lama tidak dirasai.  Walaupun ketika itu matahari pagi sudah lama muncul,  namun dingin embun pagi masih terasa.  Sejuk dan nyaman.

Sedang asyik menghirup haruman daun hijau sambil berjalan,  telinga Darwisyah disapa oleh satu pertanyaan oleh salah seorang daripada mereka.

“Ini anak Lokman?”

Darwisyah berpaling.  Wajah insan yang boleh dipanggil mak cik itu dipandang.  Berkerut dahinya.  Tidak terkecuali dahi Darwisyah juga.  “mengapa dia seperti hairan apabila mengetahui aku ini anak Lokman?”  bisik hatinya.

Beberapa saat setelah soalan itu diajukan,  tiada langsung jawapan yang diperolehi.  Nenek Leha hanya diam.  Lebih ajaib apabila melihat perubahan pada wajah neneknya.  Lain.  Seperti terkejut. 

“Bukankah Lokman…” 

“Er…  orang dah ramai tu.  Mari kita ke sana cepat.”

Mak cik tersebut bersuara.  Lagaknya seperti ingin menyatakan sesuatu,  namun cepat-cepat nenek Leha memotong percakapannya. 

“Pelik.  Apa yang mak cik itu cuba sampaikan?  Mak tok seperti tidak mahu mak cik itu menghabiskan ayatnya.  Kelihatan seperti sedang sorokkan sesuatu sahaja.  Ahh…  Tidak elok bersangka buruk sebegini.  Mak tok pernah berpesan.  Jangan bersangka sesuatu yang tidak baik tentang orang lain.  Berdosa.  Mak tok juga berkata jika menyedari diri kita mula berasa demikian,  kunci utamanya adalah dengan beristighfar.”

“Astagfirullah hal azim!”

Darwisyah cepat-cepat beristighfar dalam hati.  Kepalanya digelengkan beberapa kali.  Matanya juga dipejamkan sedetik.  Mengusir jauh rasa itu.  Sebaik sahaja Darwisyah membuka mata,  baru dia menyedari bahawa dia keseorangan ketika itu.  Neneknya dan lain-lain sudah jauh ke hadapan.

Cepat sahaja Darwisyah membuka langkah kaki.  Cuba mengejar.  Namun anak matanya dapat menangkap pandangan aneh yang dilemparkan salah seorang daripada mak cik yang bersamanya sebentar tadi.  Mak cik yang cuba menyatakan sesuatu tetapi dipintas laju oleh neneknya.

“Seperti ada yang sedang disembunyikan…”  Hatinya mula bergetar.

Tanpa Darwisyah menyedari,  ada sepasang mata sedang memerhatinya dari jauh.


*****

Seminggu sebelum itu…


Puan Normah duduk di sofa sambil menyilang kakinya.  Urat-urat rambut halus berwarna putih mula kelihatan di kepalanya.  Tetapi hanya sedikit.  Itupun kerana rambut baru yang mulai tumbuh.  Selebihnya sudah bertukar warna kepada coklat gelap.  Semuanya untuk mengaburi pandangan masyarakat daripada melihat rambut putihnya atupun lebih tepat uban.

Mata wanita itu merenung tepat ke arah wajah seorang gadis dewasa.  Umurnya sekitar 30-an.  Gadis dewasa itu duduk bersandar berhadapan dengan Puan Normah.  Lagaknya bersahaja.

“Bagaimana?  Boleh tolong Mak Su?”  Puan Normah bertanya.

“Boleh.  Mak Su nak Qasya buat apa?”  jawab gadis.

Gadis yang menggelar dirinya Qasya itu adalah anak saudara kepada Puan Normah.  Anak kepada abang sulungnya.  Qasya masih lagi bujang.  Dia baru sahaja tamat belajar di luar negara.  Selepas kembali ke tanah air beberapa hari lalu,  Qasya masih lagi belum berkerja.  Hadir dalam keluarga yang berharta,  tidak sukar baginya untuk memperoleh semua itu.  Apatah lagi keluarganya punyai empayar perniagaan sendiri.

“Tengok gambar ni.”

Puan Normah melempar kasar 2 keping gambar di atas meja kaca di hadapan mereka.  Berselerak.  Qasya mengambilnya.  Tidak puas dengan sekeping gambar,  dia mencapai sekeping lagi.

“Gambar siap ni Mak Su?”  soalnya sambil merenung gambar itu.

“Qasya tak perlu tahu siapa.  Sekarang Mak Su mahu Qasya pergi cari budak perempuan ni.  Jika sudah dapat,  cuba dekati dia.”

Puan Normah diam selepas itu.  Wajahnya penuh angkuh.  Kulit wajahnya yang sememangnya berkedut bertambah berkedut jadinya.

“Itu sahaja?”  soal Qasya lagi.  dia mempamerkan mimik muka sedikit hairan.

“Buat masa sekarang,  itu sahaja yang Mak Su mahu Qasya lakukan.  Arahan seterusnya,  Mak Su akan beritahu nanti.  Faham?”

“Faham Mak Su!”

Qasya menjawab.  Mereka berpandangan sebentar.  Bibir masing-masing mengukir satu senyuman yang sukar di mengerti.  Hanya mereka dan Allah yang tahu.

“Apa yang faham tu Qasya?”

Suara lelaki tiba-tiba kedengaran ketika itu.  Dua pasang mata berpaling mencari arah suara tersebut.  Riak terkejut sedikit terlihat di wajah masing-masing.

“Pak Su!  Terkejut Qasya!”

Encik Zulkarnain rupanya.  Dia yang baru muncul dari tingkat atas menuruni anak tangga dengan penuh berhati-hati.  Qasya tersenyum lebar.

“Apa yang fahamnya?  Dari atas lagi Pak Su dengar?”  Encil Zulkarnain bertanya lagi.  dia melabuhkan punggungnya di ruang sofa yang kosong.

“Abang ni.  Terlupakah apa yang kita rancang sebelum ni?”  Puan Normah cuba mengingatkan suaminya.

“Oh!  Jadi,  Qasya terima tawaran kita?”

“Mestilah!”  jawab isterinya penuh semangat.

“Baguslah jika begitu.  Pak Su tahu,  Qasya bijak dalam perkara ini.  Ingat!  Jika hasilnya memuaskan,  ganjaran lebih besar menanti Qisya.”

Senyuman Qasya bertambah lebar apabila mendengar janji yang dituturkan oleh bapa saudaranya.  Matanya yang bercelak hitam bertambah bulat jadinya kerana sangat teruja.

Beberapa minit berbual,  Qasya mohon undur diri.  Dia bangun dari tempat duduknya.  Skirt paras lututnya di tarik-tarik agar tidak melekat di tubuhnya.  Blouse kemejanya dirapikan sebelum mencapai tas tangannya.  Kepingan foto disimpan kemas di dalam beg tersebut.

“Mak Su,  Qasya pulang dahulu.  Jika ada apa-apa Mak Su hubungi Qasya ya,”  ujar Qasya ketika memeluk Puan Normah.

Tiada lagi budaya salam-menyalam dalam hidupnya.  Apatah lagi ucapan salam ketika mengunjungi rumah tersebut.  Begitu juga ketika ingin berpisah. 

Qasya hanya mengenali budaya bersentuh-sentuh pipi selain daripada menghulur tangan untuk bersalaman.  Manakala ucapa ‘hello’ pula menggantikan ucapan assalamualaikum.  Sama juga ketika ingin berpisah.  Ucapan ‘bye-bye’ yang akan kedengaran. 

Bagi Qasya,  ucapan-ucapan itu tidak sesuai digunakan lagi ketika itu.  Itulah tanggapannya selepas ditegur oleh seorang wanita tua di sebuah gerai makan suatu hari.  Ucapan salam dalam kehidupan harian bukanlah satu perkara yang tidak ada apa-apa kebaikan.  Malahan ada baiknya.  Rasulullah pernah bersabda,  “Orang yang memulakan memberi salam adalah terlepas daripada sifat sombong dan takbur” ( Riwayat Al-Baihaqi & Al-Khatib ).


*****


Di banglo mewah milik Encik Lokman,  Puan Zalikha sedang menyelongkar kasar laci biliknya.  Hampir kesemua laci-laci di bilik itu di buka.  Tidak cukup dengan laci almari pakaian,  almari meja milik Encik Lokman turut di bukanya.  Habis berterabur helaian-helaian kertas di lantai.

“Ya Allah Ika!  Apa yang awak buat ni?”  menjerit kecil Encik Lokman ketika melangkah masuk ke dalam biliknya.  Matanya meliar memandang lantai bilik.  Apa sudah jadi dengan bilik ini?  Ujarnya dalam hati.

“Abang,  abang ada nampak atau tidak sampul surat berwarna coklat?”  pertanyaan Encik Lokman dibalas dengan pertanyaan kembali oleh isterinya.  Tangannya ligat mengeluarkan satu persatu barang daripada dalam laci yang ditarik keluar.

“Sampul surat coklat?”  suara Encik Lokman kedengaran.

“Ya!  Sampul surat berwarna coklat. Saiznya lebih kurang kertas A4 dan tidak ada sebarang tulisan di atasnya.  Ada nampak atau tidak?”

Sedar akan Encik Lokman akan bertanya lagi,  Puan Zalikha terlebih dahulu memberitahu.  Peluh sudah mula merenek di dahinya.  Tudung yang tersarung di kepala sudah senget dan hilang bentuk.

“Tidak pula.  Ika simpan di mana sebelum ini?”  soal Encik Lokman pula.  Helaian kertas yang bertaburan di lantai dikutip lalu disusun kemas sebelum meletaknya di atas meja tulisnya.

“Ika simpan di dalam laci almari itu,”  jawab Puan Zalikha sambil menunding jari ke arah sebuah almari pakaian.

Encik Lokman memandang arah yang di tunjuk oleh isterinya.  Dia menarik nafas panjang dan menghembus perlahan.  Wajah isterinya yang sudah basah dek peluh ditatap.

“Betul awak simpan di situ?  Atau pun di tempat lain?”  Encik Lokman cuba mengembalikan ingatan Puan Zalikha jikalau dia tersalah letak.

“Tidak!  Ika yakin.  Ika simpan dalam laci almari itu,  bersama dengan sijil-sijil dan surat penting milik Darwisyah.”

Sebaik sahaja Puan Zalikha menghabiskan ayatnya,  serta-merta dia berpaling dan memandang wajah suaminya.

“Sijil Darwisyah!  Ya Allah!”

Terkesima pasangan suami isteri itu.  Masing-masing kaku di tempat duduk.  Encik Lokman meraup wajahnya.  Matanya mulai bergetar.  Perasaan Puan Zalikha sudah berkecamuk.  Risau,  takut,  cemas.  Semuanya sudah menjadi satu.

“Tidak mungkin…”  rintihnya dalam hati.

No comments:

Post a Comment